• Welcome to UM GIVING
  • giving@um.edu.my
  • 03-7967 4439 / 4421
logo
logo

UM Giving berbesar hati mengadakan sesi pertemuan bersama Dr. Liew Min Liang, Ketua Pegawai Kewangan dan Mr. Vincent Wen Sen Chu, Pengurus Kanan Kewangan daripada Malaysian Life Reinsurance Group Berhad (MLRe) bagi meneroka potensi kerjasama strategik dalam memperkasa pembangunan mahasiswa Universiti Malaya.

Perbincangan memberi tumpuan kepada peluang kerjasama dalam menyokong pembangunan bakat pelajar melalui pelbagai inisiatif latihan, pembangunan profesional serta pendedahan kepada dunia industri. Tumpuan khusus turut diberikan kepada bidang Sains Aktuari dan Analitik Data, sejajar dengan keperluan industri yang semakin dipacu oleh kemajuan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital.

Kerjasama yang dicadangkan diharapkan dapat merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri, sekali gus melengkapkan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran serta pengalaman praktikal yang relevan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan melahirkan bakat masa hadapan yang mampu memenuhi keperluan industri.

UM Giving merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Malaysian Life Reinsurance Group Berhad (MLRe) atas kesudian meluangkan masa dan berkongsi pandangan dalam perbincangan yang amat bermakna ini. Semoga jalinan kerjasama ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif berimpak tinggi dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran era teknologi. 

#UMGiving #UniversitiMalaya #MLRe #UM121 #UMisONE

× Paparan Penuh Gambar